14 October 2010

SURAT TERBUKA BUAT RAKAN YANG AKAN BERKONVO

Asallamualaikum..

Teman-teman yang dikasihi sekalian,.

Rasanya dah lama tak hubungi teman-teman yang jauh di mata tapi dekat di hati.. Blog saya pun dah lama tak update.. Justeru, sempena hari konvokesyen yang bakal menjelma tiba, saya coretkan warkah ini sebagai tanda ingatan buat teman-teman seperjuangan.

Pertama, saya ingin mengucapkan ALFU MABRUK dan TAHNIAH! kerana akan berkonvo pada hari Selasa nanti.. Semoga kejayaan ini menjadi pembakar semangat dalam mencapai cita-cita mengejar redha Allah di akhirat nanti.. Sememangnya tanggungjawab dan peranan ulama'-ulama' muda seperti teman-teman amat besar sekali..

Janganlah kita cukup sekadar berpuas hati dengan pencapaian yang seadanya sebaliknya, terus berazam untuk mencipta lebih banyak kualiti demi masa depan yang cemerlang.. Tidak kira anda bercita-cita menyambung pelajaran atau bekerja, 'pembelajaran sepanjang hayat' atau 'long life learning' perlu menjadi agenda utama dalam kehidupan kita.. Teruskanlah mengadiri kuliah-kuliah ilmu dari pelbagai sumber media massa seperti radio, televisyen, internet dsb.

Buat teman-teman yang berkeinginan untuk terus bekerja, satu nasihat/pandangan yang boleh dikongsi bersama. Janganlah anda mengeluh kerana belum mendapat pekerjaan yang sesuai. Sesungguhnya lulusan pengajian Islam bukanlah penganggur kerana banyak peluang pekerjaan yang sedang menanti. Mungkin usaha anda belum cukup untuk melayakkan mendapat pekerjaan yang diidam-idamkan itu. Dalamilah ilmu-ilmu komunikasi seperti Bahasa Inggeris dan pengetahuan semasa agar kita tidak kekok apabila dipanggil temuduga nanti. Sikap terlalu memilih kerja juga perlulah dikikis kerana tak salah kita bekerja sementara mencari pengalaman baru. Jangan lupa untuk terus berdoa memohon agar Allah mempermudahkan urusan kita.

Buat teman-teman yang bercita-cita atau sedang menyambung pelajaran di peringkat master, marilah kita berazam untuk istiqamah dan lakukan yang terbaik agar ilmu yang diperolehi nanti dapat dimanfaatkan ke dalam masyarakat. Cabaran yang besar menanti kita. Mungkin ada diantara kita yang sudah berkahwin, mempunyai anak, serta tidak mempunyai pendapatan tetap dan sokongan kewangan yang baik. Namun, itulah realiti sebenar menuntut ilmu. Semakin tinggi gunung didaki, semakin gayat dan banyak cabaran menanti.

Akhir kata, tahniah sekali lagi saya ucapkan buat saudara dan saudari. Semoga kecemerlangan ini menjadi buah semangat buat adik-adik yang masih menuntut di bumi barakah. Saya amat merindui detik-detik kita ditarbiyah, berprogram dan belajar bersama-sama. Jumpa lagi di lain masa. Saya memohon maaf andai tersalah atau terkasar bahasa. Sekian.

Wasalam..

30 May 2010

ARGHH.. HARGA MINYAK NAIK LAGI?!

Rasanya dah lama tidak berkongsi pendapat dengan teman-teman.. Cuma keadaan sekarang agak berbeza.. dahulu mahasiswa kini siswazah pula. Moga-moga gelaran siswazah menjadi buah semangat untuk terus berjuang dan berjuang.. InsyaAllah..

Baru-baru ini ana ada terbaca berita tentang desas desus mengenai kenaikan harga minyak yang dijangka sebanyak 15 sen pada tahun ini.. Rasanya perit kenaikan harga minyak sebanyak 30 sen masih lagi terasa walaupun ana hanya penunggang motorsikal yang berulang-alik 4km dari hostel ke kampus..

Ana yakin, beberapa spekulasi mengenai kenaikan harga minyak sebanyak 15 sen lagi dilihat sebagai satu usaha Kerajaan untuk melihat reaksi rakyat pada masa ini. Ana juga yakin kerajaan kesayangan kita mahu melihat sentimen rakyat dalam isu ini. Mereka sengaja menyebarkan khabar ini seperti sebelum ini dan akhirnya menaikan secara mendadak. Mungkin bukan 15 sen, mungkin lebih lagi.


Ana juga yakin, tidak ada sesiapa yang setuju jika minyak dinaikkan pada masa sekarang sedangkan kerajaan begitu mudah menghadiahkan Brunei dua telaga minyak bernilai RM 320 bilion. Jika Malaysia pertahankan blok L dan M ini, sekurang-kurangnya negara mampu memliki sebahagian hasil dan sumber minyak dari kedua-duanya.


Namun amat mengecewakan jika kesilapan kerajaan ini menyebabkan mereka menghukum rakyat dengan kenaikan 15 sen harga minyak. Ana amat berharap agar perkara ini tidak berlaku dan kerajaan perlu menyusun perbelanjaan pengurusan dan pembangunan negara secara berhemah.

Jika tidak, tak mustahillah bila perkara ini diumumkan nanti, ada kumpulan-kumpulan rakyat akan bangkit berdemonstrasi di jalan-jalan bagi menyatakan suara hati mereka kepada kerajaan. Rasanya mereka ada alasan kukuh untuk berbuat demikian..

17 April 2010

PERSADA KEDAH SOKONG INSANIAH DINAIKKAN TARAF UNIVERSITI PENUH


Persatuan Mahasiswa Darul Aman (PERSADA) hari ini menyokong penuh segala langkah yang diambil oleh pihak pentadbiran dan pengurusan Kolej Universiti Insaniah untuk menaikkan taraf INSANIAH menjadi universiti penuh dan seterusnya menjadi universiti Islam pertama di utara tanah air yang menawarkan pelbagai bidang pengajian sehingga peringkat tertinggi.

Langkah yang diambil oleh pihak INSANIAH itu merupakan suatu langkah proaktif dalam memantapkan halatuju dan matlamat INSANIAH untuk menjadi sebuah universiti Islam bertaraf antarabangsa.

Kolej Universiti Insaniah adalah merupakan sebuah Institut Pengajian Tinggi (IPT) milik penuh kerajaan negeri Kedah yang kini aktif dalam merealisasikan hasrat kerajaan untuk meningkatkan modal insan khususnya di kalangan rakyat negeri Kedah.

Langkah yang diambil oleh pentadbiran INSANIAH dibawah kepimpinan rektornya, Prof. Dato' Dr. Jamil Osman ini seharusnya disokong penuh oleh seluruh mahasiswa serta kakitangan memandangkan ia merupakan misi jelas untuk meningkatkan taraf kualiti akademik INSANIAH sehingga menjadi pusat pengembangan dan pengajian tinggi Islam yang terunggul di tanah air.

Langkah menaiktaraf kemudahan asas, penambahan tenaga pensyarah berpengalaman dan menambah serta memperkasakan program-program pengajian sehingga ke peringkat doktor falsafah (PhD) dilihat antara langkah terbaik dan positif disamping tidak mengabaikan aspek kerohanian serta memelihara budaya Islamik atau 'biah solehah' dikalangan penuntutnya.

Saya menggesa rakan-rakan mahasiswa seluruhnya agar turut bersama-sama aspirasi universiti yang murni ini dengan meningkatkan tahap keupayaan intelek seperti meningkatkan pengetahuan dengan menguasai kemahiran berfikir, berinovatif dan berdaya saing di samping berusaha menjana syahsiah dan akhlak diri dengan menyertai aktiviti luar kampus yang dianjurkan Majlis Perwakilan Mahasiswa (MPM) serta persatuan-persatuan yang lain.

Rakan-rakan mahasiswa yang bakal bergraduasi juga diingatkan supaya menjadi duta INSANIAH yang terbaik dengan mengharumkan nama universiti dalam penyertaan semua bidang di sektor pekerjaan kerajaan atau swasta dengan memiliki keperibadian tinggi dan akhlak yang terpuji di samping mengaplikasikan segala kepakaran ilmu yang telah dipelajari di sini.

Kini Kolej Universiti Insaniah mempunyai lebih 5000 orang pelajar yang terdiri pelbagai bangsa dan negara menawarkan pelbagai bidang pengajian seperti Pengajian Islam, Muamalat, Kejuruteraan, Kejururawatan dan Multimedia bermula dari peringkat asasi sehingga ke peringkat tertinggi iaitu doktor falsafah (PhD).

02 March 2010

SIMURA'10 BAKAL MENCETUS REVOLUSI MINDA SISWA UTARA


"Mahasiswa Islam Utara Memimpin Perubahan Negara" begitulah tema disebalik sebuah program perbincangan halatuju perjuangan mahasiswa peringkat nasional yang dianjurkan oleh gabungan organisasi mahasiswa iaitu PERSADA Kedah, MPM Insaniah, GAMIM Malaysia dan Qiyadah Club.

Program yang diberi nama Simposium Mahasiswa Islam Wilayah Utara (SIMURA'10) ini dianjurkan bertujuan memberi pendedahan kepada mahasiswa Malaysia khususnya wilayah Utara Semenenjung akan kepentingan berdikari dalam membentuk syahsiah mahasiswa disamping berfikiran kreatif dalam menyelesaikan masalah.


Program selama 2 hari itu akan menampilkan beberapa tokoh dan bekas aktivis mahasiswa
tanah air diantaranya ialah YB Nasir Zakaria, YB Dato' Mahfuz Omar, Dr. Anhar Opir, Dr. Azmi Abdul Hamid, Tn. Haji Ismail Ahmad, Encik Salmi Anas dan Sdr Dzulkhairi Mohd Noor.

Diantara kertas kerja-kertas kerja yang akan dibentangkan ialah bertajuk: Masa Depan Politik Kampus: Antara Realiti dan Cabaran, Membentuk Mahasiswa Yang Berdikari Untuk Memacu Ekonomi Masa Depan, Kepimpinan Mahasiswa Islam : Satu Tanggungjawab.


Semua mahasiswa Islam khususnya di wilayah utara semenanjung Malaysia dijemput menyertai program tersebut.

Pendaftaran dan pertanyaan lanjut, sila hubungi
:-
Sdr. Latifah Mohd Nazir : 019-4481792
Sdri. Muaz Zulkifli : 0194327041



16 February 2010

PERSADA TERIMA BUNGKUSAN PROVOKASI PERKAUMAN


Persatuan Mahasiswa Darul Aman (PERSADA) telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar selepas menerima bungkusan yang cuba mencetuskan provokasi perkauman.

Bungkusan yang dihantar ke pejabat persatuan itu di Kolej Universiti Insaniah mengandungi risalah dan cakera padat yang berunsur perkauman selain buku menghina Dato' Seri Anwar Ibrahim.

Buku yang menghina Anwar itu bertajuk '50 kemusykilan tentang manusia bernama Anwar Ibrahim' dan risalah lain dianggap perbuatan terkutuk pihak tidak bertanggungjawab yang cuba menabur fitnah selain bertujuan memecah belah perpaduan kaum di negara ini.

Perbuatan ini berunsur provokasi yang boleh mencemar dan memecah belah mencemar dan memecah belah perpaduan kaum sehingga boleh menjejas keharmonian dan kesejahteraan negara.

Saya yakin perbuatan ini dilakukan oleh individu mahupun kumpulan yang mempunyai agenda tersendiri bagi menjatuhkan Dato' seri Anwar Ibrahim.

Ini adalah kali pertama hal yang seumpama ini melibatkan PERSADA selain tidak menolak kemungkinan ia dilakukan oleh pihak yang mempunyai kepentingan politik. Kemungkinan ia dilakukan oleh sekumpulan individu yang ditaja kerana kos sebuah buku dan risalah yang diterima juga memerlukan modal yang banyak.

Justeru kepimpinan PERSADA berharap pihak polis dapat menyiasat kes ini supaya ia tidak berulang lagi.

PERSADA adalah sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mahasiswa anak negeri Kedah yang mempunyai lebih 3000 ahli yang terdiri dari pelbagai kaum dan agama.

Laman-Laman Pautan

TV6 Malaysia

tvmalaysia.net

TV Malaysia.net

MOVIE

Sembang Santai

Pelawat

Followers