14 October 2010

SURAT TERBUKA BUAT RAKAN YANG AKAN BERKONVO

Asallamualaikum..

Teman-teman yang dikasihi sekalian,.

Rasanya dah lama tak hubungi teman-teman yang jauh di mata tapi dekat di hati.. Blog saya pun dah lama tak update.. Justeru, sempena hari konvokesyen yang bakal menjelma tiba, saya coretkan warkah ini sebagai tanda ingatan buat teman-teman seperjuangan.

Pertama, saya ingin mengucapkan ALFU MABRUK dan TAHNIAH! kerana akan berkonvo pada hari Selasa nanti.. Semoga kejayaan ini menjadi pembakar semangat dalam mencapai cita-cita mengejar redha Allah di akhirat nanti.. Sememangnya tanggungjawab dan peranan ulama'-ulama' muda seperti teman-teman amat besar sekali..

Janganlah kita cukup sekadar berpuas hati dengan pencapaian yang seadanya sebaliknya, terus berazam untuk mencipta lebih banyak kualiti demi masa depan yang cemerlang.. Tidak kira anda bercita-cita menyambung pelajaran atau bekerja, 'pembelajaran sepanjang hayat' atau 'long life learning' perlu menjadi agenda utama dalam kehidupan kita.. Teruskanlah mengadiri kuliah-kuliah ilmu dari pelbagai sumber media massa seperti radio, televisyen, internet dsb.

Buat teman-teman yang berkeinginan untuk terus bekerja, satu nasihat/pandangan yang boleh dikongsi bersama. Janganlah anda mengeluh kerana belum mendapat pekerjaan yang sesuai. Sesungguhnya lulusan pengajian Islam bukanlah penganggur kerana banyak peluang pekerjaan yang sedang menanti. Mungkin usaha anda belum cukup untuk melayakkan mendapat pekerjaan yang diidam-idamkan itu. Dalamilah ilmu-ilmu komunikasi seperti Bahasa Inggeris dan pengetahuan semasa agar kita tidak kekok apabila dipanggil temuduga nanti. Sikap terlalu memilih kerja juga perlulah dikikis kerana tak salah kita bekerja sementara mencari pengalaman baru. Jangan lupa untuk terus berdoa memohon agar Allah mempermudahkan urusan kita.

Buat teman-teman yang bercita-cita atau sedang menyambung pelajaran di peringkat master, marilah kita berazam untuk istiqamah dan lakukan yang terbaik agar ilmu yang diperolehi nanti dapat dimanfaatkan ke dalam masyarakat. Cabaran yang besar menanti kita. Mungkin ada diantara kita yang sudah berkahwin, mempunyai anak, serta tidak mempunyai pendapatan tetap dan sokongan kewangan yang baik. Namun, itulah realiti sebenar menuntut ilmu. Semakin tinggi gunung didaki, semakin gayat dan banyak cabaran menanti.

Akhir kata, tahniah sekali lagi saya ucapkan buat saudara dan saudari. Semoga kecemerlangan ini menjadi buah semangat buat adik-adik yang masih menuntut di bumi barakah. Saya amat merindui detik-detik kita ditarbiyah, berprogram dan belajar bersama-sama. Jumpa lagi di lain masa. Saya memohon maaf andai tersalah atau terkasar bahasa. Sekian.

Wasalam..

Laman-Laman Pautan

TV6 Malaysia

tvmalaysia.net

TV Malaysia.net

MOVIE

Sembang Santai

Pelawat

Followers