21 December 2009

ISU PEMINDAHAN KUBUR HINDU UNTUK BANGUNAN KAMPUS TETAP KUIN – PUJIAN BUAT MB KEDAH


Kebijaksanaan Menteri Besar Kedah, YAB Dato' Seri Ustaz Azizan Razak dan Pengerusi Jawatankuasa tetap Pelancongan dan Pembangunan Masyarakat serta Sumber Tenaga Manusia dan Hal Ehwal Masyarakat India, S Manikumar wajar dipuji kerana bijak dalam mengendalikan isu pemindahan kubur Hindu Batu Pekaka untuk pembinaan kampus tetap Kolej Universiti Insaniah (KUIN) sehingga selesai.

Kerajaan Kedah telah memainkan peranannya dengan baik dalam menyelesaikan isu ini melalui proses rundingan dengan pemimpin masyarakat India tempatan dan waris si mati.
Hal ini jelas dengan sikap toleransi kaum telah dibuktikan dengan persetujuan pampasan RM3 ribu kepada setiap waris si mati dan tanah gantian 2 ekar di pinggir kawasan industri Kuala Ketil bernilai RM 500 ribu bagi pembinaan kubur baru di kawasan tersebut.

Keprihatinan dan komitmen tinggi Yang Berhormat S. Manikumar bagi memastikan isu ini diselesaikan segera wajar dipuji semua pihak walaupun beliau berdepan dengan sebilangan individu yang cuba menjadi hero meniupkan api perkauman, jarum hasutan dan ugutan terhadap masyarakat tempatan.

Pembinaan kampus tetap KUIN yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri adalah untuk kepentingan semua kaum di Kedah dalam usaha meningkatkan modal insan khususnya di bidang pendidikan.

Isu kubur ini berbangkit apabila Kerajaan Negeri mengarahkan kubur lama masyarakat India di Batu Pekaka, Kuala Ketil, digali dan dipindahkan ke tanah rizab bagi memberi laluan pembinaan bangunan kampus tetap Kolej Universiti Insaniah.

23 July 2009

MPM TIDAK BERFUNGSI?

Setiap kali sesi baru bermula, isu politik kampus hangat diperkatakan oleh semua pihak yang berminat mengikuti perkembangan ini. Ana seringkali diajukan pertanyaan " Bilakah pilihanraya Majlis Perwakilan Mahasiswa (MPM) atau pilihan raya kampus akan diadakan? Golongan manakah yang akan menguasai tampuk kepimpinan kampus? Mereka seolah-olah begituh minat terhadap perkembangan politik kampus.

Tapi keghairahan mereka terhadap pilihanraya kampus tak ke mana. Habis pilihanraya mereka pun senyap dengan hal masing-masing kecuali dua tiga 'kerat' sahaja. Apa yang MPM nak buat selepas itu, mereka tak ambil pusing lagi. Tugas mereka memilih MPM telah berakhir. Mereka sudah tidak berminat lagi untuk mengetahui, apa peranan MPM diadakan ? Kemanakah perjuangan pelajar hendak dihalakan? Untuk siapakah MPM itu?

Kalau kita melihat secara umum sekarang, MPP seluruh kampus IPT sendiri lebih senang menjadi golongan "yes man" dari bertindak sebagai "pressure group"yang membina atau lebih tepat agaknya kalau kita katakan MPP adalah untuk membantu bahagian Hal Ehwal Pelajar di dalam pentadbiran universiti. Kesannya jadilah MPP sebagai badan penganjur program-program bercorak kerohanian, kebudayaan, sukan dan bakti siswa sahaja.

Apakah ini satu perkembangan yang sihat untuk melahir pemimpin yang berkaliber generasi 2020? Apa untungnya melahirkan pemimpin "yes man" kepada pembangunan negara? Apakah tidak mungkin negara akan menuju ke gerbang kehancuran kerana melahirkan pemimpin yang tidak berpendirian, rasuah dan pentingkan diri sendiri. Berbagai lagi persoalan lain yang timbul.

Mahasiswa semakin tidak tahu peranan MPM yang sebenarnya. Pemimpin MPM yang dipilih seharusnya menyedari kehendak mahasiswa dan keadaan semasa. Pemimpin mahasiswa tidak seharusnya bertindak mengikut masa dan "carbon copy" sahaja.

Seringkali ana ingatkan rakan-rakan pimpinan tidak seharusnya menerima bulat-bulat keputusan HEP. Sebaliknya kaji dan sesuaikan dengan citarasa perjuangan mahasiswa Islam. Kita seharusnya tidak berasa dikongkong dengan peraturan seperti AUKU dan peraturan Kaedah Pelajar Insaniah. Sudah berapa ramaikah ditangkap dan dibicarakan di KUIN kerana lantang menyatakan dan membela kebenaran?

Sebenarnya perubahan lanskap politik Kedah tahun lepas banyak mengubah suasana politik dalaman kampus KUIN. Pertukaran pegawai atasan seperti Rektor dan Timbalan Rektor, kemasukan pensyarah-pensyarah baru, pembukaan beberapa kulliyyah atau fakulti baru banyak mempengaruhi politik kampus sama ada di peringkat pentadbiran atau mahasiswa. Pintu demokrasi kini dilihat agak terbuka untuk perubahan demi perubahan di Insaniah. Kita seharusnya memainkan peranan penting dan pandai mengambil peluang dalam setiap perubahan. Kebebasan bersuara yang berteraskan akhlak islamiah dan keimanan kepada Allah harus dipupuk.

MPM perlu mainkan peranan yang sebenarnya amat besar dan sentiasa dinantikan mahasiswa. Bukan sebagai payung yang menaungi mahasiswa Insaniah, malah bumbung yang menaungi mahasiswa Malaysia. Kita perlu menjuarai isu-isu semasa dan menjadi pengkritik membina dalam membantu terbinanya kerajaan Kedah Sejahtera dan negara 1Malaysia.

Ana menyeru kepada pimpinan mahasiswa Insaniah. Ayuh kita mulakan langkah reformasi dalam politik kampus di Insaniah. Lahirkan suara-suara yang menyatakan pendirian gerakan kita. Tanamkan kefahaman 'student power' kepada rakan-rakan yang lain dan berani bertindak di atas landasan kebenaran membela hak bersama. Bersatu di atas dasar 'wahdatul fikr , wahdatul amal'. Satu pemikiran-satu tindakan.


Mulakan langkah dengan diri kita yang tidak perlu takut untuk melakukan reformasi dan mencuba beberapa pendekatan baru bagi mengembalikan keunggulan MPM sebagaimana peranannya di zaman silam.

07 July 2009

Apa Sebenarnya Terjadi Di Iran?


Salah kalau kita mengatakan bahawa tunjukan perasaan di Tehran dan kota-kota lain di Iran sebagai protes hanya tentang pilihanraya sahaja. Hakikatnya Mahmoud Ahmadinejad telah menang.

Juga salah untuk mengatakan bahawa tunjuk perasaan ini antara golongan liberal yang menentang golongan konservatif alias kolot. Hakikatnya kedua-dua kumpulan yang sedang bertelagah sama-sama mewakili theocracy yang kolot.

Mir Hossein Mousavi sebelum ini pernah menjadi perdana menteri dari 31 Oktober 1981 hingga 3 Ogos 1989. Kemudian jawatan perdana menteri dilupuskan.

Memang betul Amerika Syarikat semenjak dari zaman George W Bush menganjurkan dan mengeluarkan dana untuk membuat kerja-kerja jahat terhadap Iran. Amerika Syarikat menyokong kumpulan-kumpulan dan parti-parti politik yang menentang kerajaan di Tehran. Ia memang tugas kuasa imperial Amerika Syarikat.

Tetapi Mousavi dan Ahamadinejad tidak pro-Amerika - ini amat jelas. Mereka bukan boneka Amerika.

Amerika Syarikat masih dianggap sebagai "setan dunia" oleh kelas pemerintah di Iran. Tidak ada pemimpin politiknya secara terang-terangan yang akan berani membuat dasar pro-Amerika kerana sebab-sebab sejarahnya.

Pada 1953, Mohammed Mosaddeq memenangi pilihanraya dan dilantik sebagai perdana menteri Iran. Mosaddeq yang menjalankan dasar nasionalis telah memiliknegarakan semua telaga minyak Iran. Mosaddeq akhirnya telah ditendang keluar.

Rampasan kuasa menendang Mosaddeq ini perancangan agensi perisikan CIA. Setelah Mosaddeq ditendang, syarikat minyak Anglo-Amerika dibawa masuk kembali.

Untuk menggantikannya, Shah Ahmad Reza Pahlavi dinobatkan oleh CIA sebagai raja sehingga tahun 1989 apabila revolusi Iran melupuskan sistem beraja di Iran.

Maklumat ini fakta sahih. Pada 4 Jun lalu, presiden Amerika Syarikat yang baru Barack Obama sendiri mengakui perkara ini dalam ucapan di Kaherah. Ucapan Obama kepada "warga Islam" sejagat dibuat dalam usaha Amerika ingin berbaik-baik kembali dengan Iran.

Mari kita memahami siapa penyokong Ahmadinejad dan siapa pula penyokong Mousavi.

Semua yang menyokong Mousavi dan Ahmadinejad adalah orang Iran atau Parsi. Mereka semua beragama Islam – aliran Syiah. Hanya wujud kumpulan kecil di beberapa wilayah seperti di Baluchistan yang bermazhab Sunni.

Mereka ini amat bersedia untuk menjadi khadam Amerika. Dua minggu sebelum pilihanraya dijalankan, ada letupan bom di Zehdan – ibu kota Baluchistan. Pengeboman ini kerja barua Amerika. Hakikatnya mazhab Sunni amat kecil untuk dapat melakukan apa-apa perubahan sosial.

Jadi apa sebenarnya yang berlaku di Tehran?

Semua analisis akhiranya menjurus kepada kepentingan ekonomi dan kelas.

Ahmadinejad mewakili golongan bawahan – kaum tani di kampung-kampung dan kaum buruh di kota. Wajib difahami bahawa Iran bukan Tehran sama seperti Kuala Lumpur bukan Malaysia. Kaum tani dan kaum buruh ini dimanifestasikan melalui organisasi Basij.

Basij asalnya kumpulan anak-anak muda kampung dan anak muda miskin kota yang direkrut ketika Iran dan Iraq berperang – 1980-1988.

Basij berasal dari kumpulan sukarelawan tetapi dua tahun lalu ia diserap dalam pentabiran Ahmadinejad, sebagai presiden. Basij mendapat kontrak pembangunan, lesen-lesen dan memegang jawatan di lembaga-lembaga di beberapa pusat pentabiran kerajaan yang ditubuhkan oleh Ahmadinejad.

Lembaga ini samalah seperti perbadanan kemajuan ekonomi negeri atau SEDC yang ditubuhkan oleh perdana menteri Razak Hussein dahulu.

Ahmadinejad juga mendapat sokongan Pasdaran atau soldadu Penjaga Revolusi. Ia adalah pasukan tentera yang muncul di zaman Ayatolah Khomeini untuk memantapkan revolusi.

Pasukan ini muncul sesudah revolusi untuk membersihkan tentera Iran di bawah pentadbiran Shah yang banyak menjadi tali barut Amerika Syarikat. Pasukan Pasdaran ini mendewasa dalam kancah perang Iran-Iraq.

Basij dan Pasdran kini asas sokongan yang amat kuat untuk Ahmadinejad di kawasan luar bandar dan kawasan miskin di kota. Kuasa ekonomi baru Basij yang telah dilembagakan ini mula menghakiskan dua kumpulan kelas ekonomi lama.

Kumpulan pertama adalah kelas borjuis industri yang diwakili oleh Rafsanjani, seorang multibilionaire.

Rafsanjani – wakil kelas borjuis nasional - melihat dasar Ahmadinejad telah mengetatkan lagi sekatan ekonomi yang dilancarkan oleh Amerika Syarikat terhadap Iran.

Rafsanjani taukeh kacang Pastichio ini sedang melihat bertan-tan kacangnya tidak dapat dieksport. Kelas ini juga ingin berkembang luas – dari borjuis nasional untuk menjadi pemodal yang besar – multinasional - untuk mencari pasaran dunia.

Mereka juga bercita-cita untuk menjadi kelas industri tetapi telah gagal kerana wujudnya sekatan ekonomi.

Kumpulan kedua pula adalah apa yang dikenali sebagai Bazaari – ini kelas lama yang mucul dari zaman feudal. Bazaari adalah peniaga tradisional. Kalau di Malaysia mereka ini peniaga-peniaga Cina yang memiliki jaringan kedai-kedai perniagaan.

Bazaari muncul sebagai kelas ekonomi yang kuat kerana mereka memonopoli dan mengendalikan jual beli di Iran. Ketika gerakan anti-Shah dahulu, kumpulan Bazaari ini menyokong Ayatolah Khomeini sehinggkan Iran menjadi lumpuh dan Ahmad Reza Pahlavi lari.

Kelas bazaari ini juga memiliki pertalian yang amat kuat dengan struktur Syiah yang berpusat di Qum, kota suci penganut Syiah. Mereka memerlukan satu sama lain.

Golongan agamawan di Qum memerlukan sokongan ekonomi alias duit kelas bazaari. Kelas ini pula memerlukan fatwa untuk "menghalalkan" apa sahaja perniagaan mereka, termasuk pelacuran yang ditafsirkan sebagai "nikah sementara".

Kelas peniaga kecil ini melihat perniagaan di bazar mereka terbantut dan kelas mereka tidak dapat berkembang. Pelancong tidak masuk. Permaidani mereka tidak terjual dan tidak dapat dieksport.

Kelas bazaari yang komprador - yang bergantung perniagaan dengan peniaga luar - kini melihat barangan mereka amat susah untuk diimport atau dieksport kerana sekatan ekonomi.

Justeru amat jelas ada pertentangan kelas di sini. Ada pertentangan kepentingan ekonomi. Kumpulan borjuis lama - borjuis nasional dan kelas komprador yang diwakili oleh Rafsanjani-Mousavi sedang bertempur dengan kumpulan ekonomi kelas baru – kapitalis daulah yang diwakili oleh Ahmadinejad.

Justeru, keadaan ini membuktikan bahawa apa yang berlaku di Iran sekarang tidak ada sangkut-paut dengan Islam, dengan mazhab Syiah atau dengan agama.

Krisis di Iran hari ini adalah pertentang kelas dan perebutan ekonomi.

Jangan kita lupa, ada lagi satu kumpulan – monarki – saki-baki penyokong Shah Ahmad Reza Pahlevi. Mereka ini kelas feudal yang sedang menggelabah seperti polong tidak bertuan.

Tuannya Reza Pahlavi anak Shah kini tinggal di Kaherah kerana menjadi menantu Anwar Sadat, bekas presiden Mesir.

Kumpulan feudal kelas elit atasan ini bersarang di bahagian utara Tehran – kawasan ini samalah seperti Bukit Kenny di Kuala Lumpur atau Country Height di Kajang.

Kumpulan ini berkumpul bawah televisyen satelit yang dimiliki oleh Reza Pahlavi yang dipancarkan dari Kaherah.

Kelas feudal dan elit atasan ini – kumpulan Gucci dan Louis Vuitton – ini tidak ada sangkut-paut dengan demokrasi. Mereka ini lintah darat yang hidup senang-lenang ber-shopping di hujung minggu di London dan Paris di zaman Shah dahulu.

Mereka ini sama dengan kaum keluarga anak beranak kroni-kroni Mahathir Mohamad. Mereka melihat "gaya hidup" mereka menjadi kacau-bilau sesudah berlakunya revolusi tahun 1979.

Jadi, siapakah pula yang berdemonstrasi di jalan raya yang membantah keputusan pilihanraya?

Semua yang kepentingan ekonomi dan gaya hidup mereka tidak selari dengan dasar Ahmadinejad sedang turun bermandi darah di jalan raya.

Mereka bersatu bawah bendera dan slogan "undur-undur Ahmadinejad". Ia sama seperti slogan zaman Reformasi (1998) ketika rakyat satu Malaysia berdemonstrasi untuk menjatuhkan regim Mahathir.

Awas! Dari semua kumpulan ekonomi ini ada lagi satu kumpulan. Mereka ini kumpulan anak-anak muda yang tidak memiliki kepentingan ekonomi atau kelas.

Mereka inilah yang gugur ditembak oleh peluru Basij. Mereka inilah yang sedang bertempur dengan tentera dan polis antirusuhan.

Anak-anak muda ini datang dari semua kelas. Mereka adalah kaum pelajar muda. Mereka juga adalah "penanam anggur" yang tidak memiliki kerja dan masa depan.

Mereka melihat Ahmadinejad sebagai musuh yang mengganggu-gugat gaya kehidupan muda mereka. Mereka adalah Mat Rock dan Mat Kool dari utara Tehran. Mereka juga Mat Rempit dari kawasan miskin wilayah selatan Tehran.

Mereka sedang mendobrak segala nilai kolot yang menyusahkan kehidupan harian mereka. Mereka adalah generasi Myspace, Facebook dan Friendster.

Ibu bapa mereka adalah Siti Internet dan Lebai Google. Bapa saudara mereka adalah Blogspot Dot Com. Mereka adalah pembuat filem di YouTube. Mereka adalah wartawan SMS dan Twitter.

Mereka bermazhab Ali Shariati, tokoh sarjana yang membakar semangat kebebasan. Mereka menganuti fahaman Mao, Lenin, Bakunin dan Che Guevara.

Seperti biasa anak-anak muda inilah yang menjadi barisan hadapan untuk membawa perubahan. Mereka jugalah yang sedang bermandi darah membuka harapan baru untuk Iran.

Mereka ingin membebaskan Iran daripada theocracy yang kolot.

Hakikatnya dasar Ahamadinejad dan dasar Mousavi tidak ada bezanya. Dasar ini ingin men-tua-kan naluri muda mereka. Di tahap sejarah pada Jun 2009 ini, anak-anak muda ini sedang berpayung bawah lambang Mousavi kerana pekikan perjuangan yang dilaungkan olehnya.

Untuk sementara waktu, Ahmadinejad adalah presiden Iran yang terbukti telah menang dalam pilihanraya. Ahmadinejad akan terus berkuasa. Amerika Syarikat bawah Barack Obama – untuk kepentingan berjangka panjang – tidak akan menggugat Iran.

Waspada! Iran memiliki tradisi perjuangan dan tamadun yang lama. Ia memiliki tradisi Tudeh yang memimpin kaum buruh di industri minyak. Iran, memiliki tradisi Fedayeen Al-Khalaq.

Iran memiliki tradisi Mujahideen Al-Khalaq. Iran memiliki tradisi tempur Syiah yang dinobatkan sebagai Islam Kiri oleh Ali Shariati.

Tiga kumpulan inilah penyusun dan penjana awal revolusi Iran 1979 sebelum dirampas oleh Ayatollah Khomenei yang dilihat oleh kuasa Anglo-Amerika pada ketika itu sebagai kuda yang lebih selamat.

Akhirnya anak-anak muda ini akan mengundur dan menilai kembali garis perjuangan mereka. Yakinlah dalam masa yang tidak lama akan muncul kembali satu pertempuran yang lebih tersusun.

Anak-anak muda di mana sahaja di dunia ini akan berkumpul apabila terdengar pekikan perjuangan. Ia adalah sifat dan naluri anak muda. Anak-anak muda di Iran memiliki waktu untuk menunggu.

-Dipetik dari artikel Hishamuddin Rais, Malaysiakini 25 Jun 2009

17 June 2009

ISU BI WAJIB LULUS SPM PERLU DIBINCANG LEBIH SERIUS


Kenyataan Yang Amat Berhormat Timbalan Perdana Menteri Malaysia yang menyaran agar matapelajaran Bahasa Inggeris sebagai subjek wajib lulus dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dianggap kurang tepat pada masanya. Namun tindakannya yang memohon pendapat dan perbincangan dari pelbagai pihak dilihat satu langkah berhati-hati setelah pelbagai bantahan dibuat pada dasar PPSMI lalu.

Justeru itu, ana memohon agar semua pihak sama ada kerajaan, ahli akademik, parti-parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) supaya membincangkan dengan lebih serius cadangan pihak Kementerian Pelajaran untuk mewajibkan lulus matapelajaran Bahasa Inggeris dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Kita melihat isu ini memerlukan penilitian yang rapi kerana bakal melibatkan pelbagai pihak serta akan memberi kesan yang besar khususnya buat generasi akan datang.

Ana amat bimbang dengan isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang telah mendapat bantahan daripada ilmuan, cendikiawan dan bijak pandai masih belum dapat diselesaikan tetapi sudah ada cadangan untuk mewajibkan matapelajaran Bahasa Inggeris dalam SPM.

Rasanya tidak keterlaluan andaikata kerajaan mengkaji sedalam-dalamnya cadangan ini dengan menyemak keupayaan dan kualiti PPSMI terlebih dahulu disamping mendapatkan maklum balas dari pelbagai pihak kerana sekiranya cadangan ini dilaksanakan, maka banyak lagi kos yang melibatkan dana dari wang rakyat perlu dibelanja terutama bagi menyediakan kemudahan dan menambah guru pakar dalam matapelajaran tersebut.

Sehubungan dengan itu, ana mencadangkan agar satu jawatankuasa khas perlu ditubuhkan bagi menilai pencapaian semasa pelajar luar bandar dan tahap pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris yang telah dikuasai oleh mereka dalam matapelajaran Matematik dan Sains jika tidak sebagai bahasa komunikasi sekalipun.

05 June 2009

INSANIAH universiti penuh bulan oktober ini?


Rasa bangga dan teruja dengan ucapan Timbalan Rektor Akademik Prof. Madya Tuan Haji Abd. Rahman Mustaffa sewaktu merasmikan Minggu Sillaturahim (MSR) pada hari Isnin yang lepas. "Insya'Allah Kolej Universiti Insaniah bakal menjadi Universiti penuh pada bulan sepuluh ini dengan gelaran Universiti Insaniah atau Universiti Islam Insaniah". Begitulah kata-kata yang dilafazkan beliau kemudian disambut tepukan gemuruh oleh lebih 1200 pelajar-pelajar baru yang hadir pada majlis itu.

Memang perancangan ke arah universiti penuh telah dirangka sekian lama oleh semua pihak terutamanya pihak pentadbiran. Namun yang nampak jelas dan ketara usaha ke arah itu bermula pada dua bulan yang lepas. Mereka mengatur pelbagai bengkel, taklimat, konvensyen dan seminar untuk memastikan segala gerak kerja menjadi semakin mudah.

MPM pun tidak ketinggalan dalam mengejar cita-cita ini. Kami masih memegang amanat Dato' Rektor ketika ucapan pada majlis angkat sumpah pada bulan januari yang lalu. "MPM harus bersama-sama dalam usaha membangunkan dan mengangkat kecemerlangan INSANIAH". Lantaran itu beberapa pelan strategik dirangka bagi memastikan siswa INSANIAH setanding dengan siswa di universiti penuh dalam semua aspek.

Masih ana ingat lagi perbualan bersama seorang exco MPM Universiti Malaya baru-baru ini. Beriya-riya betul beliau mengambarkan hasrat MPM UM untuk menjadikan UM sebagai ranking universiti terbaik dunia. Daripada perbualan itu, ana bertambah sedar akan peranan mahasiswa amat penting dalam hal ini. Pencapaian akademik dan penglibatan dalam aktiviti ko-kurikulum adalah menjadi penilaian utama dalam usaha ke arah itu.

Namun disebalik rasa bangga dan teruja itu, timbul pula rasa bimbang dan risau. Beberapa persoalan mula timbul di kepala, "Dah bersedia ker kita?" satu per satu isu-isu lapuk dan baru mula bermain di minda. Masalah kebajikan mahasiswa, PTPTN & LBNK, kekurangan kemudahan asas, kekurangan pensyarah dan kerenah birokrasi ketika berurusan dengan pentadbiran sepatutnya sudah nampak jalan penyelesaiannya.

Dalam usaha untuk mengejar cita-cita menjadi sebuah universiti penuh ini,ana berpendapat semua pihak terutama pentadbiran bersama-sama MPM harus sedar dan cuba menyelesaikan isu yang agak jarang dibincangkan diantaranya 'Krisis Akhlak' yang semakin membarah. Kes-kes khalwat, couple, cabar-mencabar hukum Allah tentang kewajipan menutup aurat, kecurian dan macam-macam lagi gejala negatiif kini nampaknya semakin menjadi-jadi sehingga ada yang ditangkap pihak berkuasa Jabatan Agama, Polis dan JKKK.

Justeru itu, semua pihak mempunyai peranan masing-masing. Kita akan berbangga dengan gelaran yang tinggi namun hakikatnya kebanggaan itu bukanlah sesuatu yang solid kalau tidak diasas dan dilapik dengan keimanan kepada Allah. Bagi ana, universiti penuh itu akan lebih bermakna jika hiasan akhlak dan budaya cintakan ilmu berada di hati penuntut-penuntutnya. Moga-moga dapat sama-sama kita realisasikannya.

23 May 2009

HEP kami semakin pandai


Entah malam ni tergerak hati ana nak coretkan sesuatu berkaitan HEP. Rakan-rakan seperjuangan tentu berminat untuk membacanya. Pertama sekali, tahniah diucapkan buat pegawai HEP terutamanya Tuan Timbalan Rektor HEP, Dekan dan Pengarah HEP di atas perubahan-perubahan yang telah dibuat sejak awal tahun yang lalu.

Setiap aktiviti siswa nampaknya semakin mendapat perhatian ayahanda dan bonda di HEP. Semakin mudah penganjuran program diluluskan oleh HEP dan persatuan-persatuan pelajar yang lain. Kami berasa selesa untuk berhubung dan bekerjasama dengan HEP dalam hal ini. Rasa-rasanya HEP sekarang semakin pandai mengambil hati masyarakat siswa.

Ucapan tahniah buat Puan Dekan HEP yang meluluskan cadangan pembentukan persatuan-persatuan kulliyyah, menggalakkan penubuhan kelab dan persatuan-persatuan baru. Terima kasih kepada beliau kerana melatakkan budjet yang agak selesa buat MPM dan persatuan-persatuan lain. Satu pengiktirafan buat organisasi pelajar seperti kami.

Ana amat terharu dengan penguatkuasaan etika pakaian dan usaha-usaha HEP untuk membenteras krisis akhlak dikalangan mahasiswa. Pelbagai isu yang diperjuangkan MPM sejak dulu hingga kini telah mendapat perhatian oleh HEP baru-baru ini. Ana sendiri dijemput untuk menghadiri mesyuarat-mesyuarat program HEP, satu keistimewaan yang tiada untuk pimpinan MPM terdahulu.

Namun di sebalik kebijaksanaan yang ditunjukkan HEP itu, masih terdapat perkara-perkara sumbang yang perlu diberi perhatian serius. Disebalik sekelompok siswa yang telah mengubah persepsi yang baik kepada HEP, timbul pula golongan-golongan yang kurang senang dengan HEP ini.

Isu-isu kebajikan pelajar gagal mendapat perhatian di hati HEP. Isu-isu seperti kelewatan PTPTN dan LBNK hingga kini masih belum diselesaikan. Bayaran insentif kepada beberapa orang pelajar kurang upaya juga telah terhenti sejak sekian lama. Kadang-kadang permintaan dan tuntutan yang dibuat oleh exco kebajikan MPM dianggap tidak penting dan tidak perlu dilayan. Pernah ana dimaklumkan seorang exco MPM diherdik kerana terlalu kerap bertanyakan isu PTPTN yang tidak selesai. Sabar je lah akhi..

Satu pandangan ikhlas buat HEP. Kami melihat anda sudah mengubah dasar lama dan mula diterima oleh sebilangan masyarakat siswa. Namun anda perlu lebih dekat dihati kami. Isu-isu kebajikan disamping masalah kerenah birokrasi yang perlu dihadapi mahasiswa tatkala berurusan dengan pihak pentadbiran perlu diselesaikan segera. Tindakan pihak HEP yang cuba membatalkan penyertaan skuad perahu panjang ke pertandingan peringkat kebangsaan dan antarabangsa dilihat sebagai langkah yang kurang bijak.

Ana percaya HEP kini sedang dalam proses penjenamaan semula dan semoga cadangan-cadangan yang baik dari pelajar tetap diterima dan digunapakai. Harapan supaya melihat HEP ini adalah yang terbaik Malaysia nampaknya bukan angan-angan kosong mahasiswa. Moga-moga ada pegawai HEP yang berminat nak baca nie..



Laman-Laman Pautan

TV6 Malaysia

tvmalaysia.net

TV Malaysia.net

MOVIE

Sembang Santai

Pelawat

Followers