Kesibukan
dalam melaksanakan aktiviti-aktiviti kesukarelawan di Musa Asiah Integrated
School tidak menghalang saya mendekati beberapa individu bagi mengenali
masyarakat Cham dengan lebih dekat. Antaranya saya sempat berkenalan dengan
seorang anak jati kampung tersebut yang juga pengetua di Musa Asiah Integrated
School. Beliau ialah Ustaz Salleh yang sangat fasih berbahasa Melayu dan pernah
menuntut ilmu di luar negara. Menurut beliau, kehidupan belia Muslim di Kemboja
sekarang sudah berubah dan lebih baik dari zaman selepas perang. Setiap tahun
ramai belia Muslim yang melanjutkan pengajian di peringkat yang lebih tinggi
sama ada di dalam atau luar negara. Kebanyakan mereka menerima sumbangan dan
bantuan daripada persatuan-persatuan belia Islam yang berusaha mengumpulkan
dana pendidikan. Dana tersebut kebanyakannya diperolehi dari negara-negara
Islam yang lebih maju seperti negara-negara Arab, Malaysia, Brunei dan banyak
lagi. Namun yang menjadi permasalahan ialah hanya segelintir sahaja dalam
kalangan graduan belia Cham tersebut yang berminat menyumbangkan bakti untuk
bekerja dan membantu pendidikan di kampung. Kebanyakan mereka lebih gemar
bekerja di Phnom Penh malah ramai yang terus menetap dan bekerja di luar
negara.
|
Bangunan dua tingkat ini ialah sebuah rumah yang diwakaf untuk dijadikan Musa Asia Integrated School |
Namun,
Ustaz Salleh tetap bersyukur dengan sokongan penduduk terhadap perkembangan sekolah
agama di kampung tersebut. Jelasnya ibu bapa amat menitik beratkan pendidikan
agama walaupun anak-anak mereka telah dihantar ke sekolah harian kerajaan. Kami
melihat ramai ibu bapa yang menghantar dan mengambil sendiri anak mereka di
sekolah tersebut malah ada yang sanggup menunggu lama di luar sekolah. Beliau
juga sangat berbangga dengan semangat dan komitmen dua orang guru di sekolah
tersebut dan di antaranya ialah Ustaz Safir yang tidak jemu mendidik anak-anak
kampung.
|
Seorang anak Cham bernama Sufina berusia 7 tahun mempamerkan lukisannya. |
Mata
pelajaran yang diajar di Musa Asiah Integrated School tidak semuanya sama
seperti mata pelajaran di sekolah harian kerajaan. Di sini, pelajar akan diberi
penekanan mata pelajar agama seperti membaca al-Quran, Tauhid, Fiqah dan banyak
lagi di samping mata pelajaran bahasa Inggeris dan bahasa Khmer sendiri turut
diajar.
Pengalaman
berada bersama pelajar-pelajar di Musa Asiah Integrated School banyak mengajar
kami erti kesyukuran yang sebenar. Sekolah mereka tidaklah sehebat
sekolah-sekolah agama di Malaysia kerana serba kekurangan. Namun semangat
menuntut ilmu mereka tidak boleh dipertikaikan lagi. Mereka sanggup meredah
kegelapan malam dan berjalan kaki sejauh beberapa kilometer kerana tidak ramai
yang mempunyai basikal. Malah kebanyakan aktiviti kami juga dilaksanakan
sehingga jam 10 malam. Saya teringat dengan petikan hadis nabi Muhammad SAW
yang telah bersabda maksudnya “Barangsiapa yang berjalan menuntut ilmu maka
Allah mudahkan jalannya menuju ke syurga”.
|
Sebahagian pelajar menantikan persembahan eksperimen sains yang akan dipemerkan oleh sukarelawan |
|
Penulis bersama anak anak Cham di Musa Asia Integrated School Svay Khleang |
Saya
sangat bertuah kerana diamanahkan untuk mengendali slot aktiviti Bacaan Iqra’
bersama rakan-rakan sukarelawan yang lain. Setiap pelajar diagihkan kepada
beberapa kumpulan kemudian diberikan buku Iqra’. Kaedah bacaan adalah secara bertalaqqi
dalam kumpulan-kumpulan kecil. Dari situ saya mendapati kebanyakan mereka sudah
mampu menguasai asas-asas bacaan al-Quran dengan baik malah sudah ada yang
boleh membantu saya mengajar rakan-rakan mereka yang lain. Selain itu, saya
turut berkesempatan mengendalikan slot aktiviti ‘Tahsinul Ibadah’ di
mana para sukarelawan akan membimbing pelajar-pelajar supaya mengambil wuduk
dan solat dengan sempurna. Memang tidak dinafikan kebiasaannya usia kanak-kanak
di antara 6 hingga 11 tahun merupakan usia untuk bermain tetapi apa yang
membanggakan kami ialah mereka cukup patuh serta memberi kerjasama terhadap
arahan dan bimbingan yang diberikan malah melaksanakannya dengan baik cuma
sesekali masalah komunikasi bahasa menjadi halangan yang sukar dielakkan. Saya
dapati mereka sangat menghormati guru, tetamu dan orang yang lebih tua dalam
pelbagai keadaan yang mana budaya sebegini semakin terhakis dalam kalangan
anak-anak Melayu di tanah air sendiri.
|
Ustaz Salleh sedang memberikan ucapan |
|
Pelajar-pelajar menerima cenderahati kenangan bergambar bersama sukarelawan |
|
Pelajar sedang mendengar taklimat |