28 April 2014

TRAVELOG KEMBOJA 6 : Dari Svay Khleang ke Prektanug 3

Aktiviti kami di Kampung Svay Khleang selama tiga hari tersebut agak padat dan secara keseluruhannya telah berjaya mencapai matlamat menawarkan khidmat pendidikan formal bersama pelajar-pelajar sekolah. Namun jauh di sudut hati, saya berasa terkilan kerana tidak mempunyai kesempatan mempelajari adat budaya mereka dengan lebih mendalam. Saya menanam azam baru supaya terus mempelajari sesuatu yang baru di Kampung Prektanung 3 yang akan kami lawati nanti. Perjalanan ke kampung tersebut dari Svay Khleang yang mengambil masa tiga jam dirasakan agak singkat berbanding dengan perjalanan yang pertama dari Phnom Penh dahulu namun ia lebih menarik kerana kami berkesempatan menaiki tongkang untuk merentas Sungai Mekong sungai yang terpanjang di Asia Tenggara. 
Jalan utama di Kampung Prektenug 3

Ketibaan kami di Kampung Prektanug 3 di sambut meriah oleh masyarakat tempatan. Mereka mengadakan kenduri dan menjemput penduduk kampung hadir untuk beramah mesra dengan rombongan kami. Sepanjang dua hari ini kami bermalam di rumah Ustaz Muhd Radhee sendiri yang merupakan pembimbing perjalanan kami sejak hari pertama lagi. Rumahnya agak besar, selesa dan mewah kalau dibandingkan dengan rumah penduduk kampung yang lain. Maka tidak hairanlah beliau antara belia Muslim yang berjaya dalam perniagaan herba dan kerana itu beliau banyak menumpukan kepada aktiviti mengumpul dana untuk disalurkan kepada penduduk muslim melalui NGO yang dikenali sebagai Association for Capacity Building of Human Resource Development In Cambodian Islamic Community (CACIC).
Pintu hadapan rumah penginapan kami di Pregtanug 3. Rumah yang dimiliki oleh Ustaz Radhee ini juga dijadikan pejabat operasi NGO yang ditubuhkannya.

Aktiviti kami diteruskan di Kampung Pregtanug 3 tetapi konsepnya agak berbeza. Kali ini ia lebih tertumpu pada penduduk kampung seperti gotong-royong membersihkan kampung dan surau, sumbangan dan ziarah fakir miskin, sukaneka kanak-kanak, malam kebudayaan dan pertandingan bola persahabatan. Kedudukan rumah ustaz Muhd Radhee yang bersebelahan dengan sebuah sekolah agama memberi peluang kepada saya untuk berkenalan dengan seorang guru yang bernama Ustaz Salam. Beliau fasih berbahasa Melayu kerana pernah menuntut ilmu pondok di negeri Kelantan dan kelihatan beliau sangat gembira dengan kedatangan kami di kampungnya.
Penulis bersama Ustaz Salam

Sepanjang perkenalan dengannya, saya mendapati beliau seorang yang baik, alim mengenai agama dan berpandangan jauh. Beliau juga sangat dikenali di kampungnya kerana bertugas sebagai imam sambilan di surau kampung yang tidak jauh dari penginapan kami. Ustaz Salam sangat bersyukur kerana dilahirkan sebagai seorang Muslim dan sempat merantau ke Malaysia untuk mempelajari tentang agama secara mendalam. Beliau amat yakin bahawa penguasaan ilmu agama sangat penting terutama dalam dunia moden yang serba mencabar ini. Maka ilmulah yang akan memandu pemikiran manusia agar tidak tersasar daripada landasan Islam dan Iman. Kadang kala beliau melahirkan kekecewaan dengan amalan-amalan masyarakat kampung yang menyimpang dari ajaran Islam sebenar antaranya seperti mempercayai bomoh dan menilik nasib. Katanya amalan sebegini perlu dibuang kerana jelas menyesatkan manusia daripada keimanan terhadap Allah SWT. Pendidikan Islam secara asas mengenai ibadah sahaja sebagaimana yang difahami sebahagian penduduk kampung adalah tidak cukup malah perlu didalami dengan mengkaji ilmu tauhid, akidah, tafsir, hadis, akhlak dan sebagainya. Kata-kata Ustaz Salam ada kebenarannya lantas saya teringat dengan Firman Allah SWT dalam ayat 208 surah al-Baqarah yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Islam secara menyeluruh dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh kamu yang nyata."
Penulis berkesempatan menyerahkan sumbangan keperluan dapur yang dikumpulkan kepada seorang ibu tunggal

Aktiviti sukaneka bersama kanak-kanak



Sepanjang pemerhatian di Kampung Prektanug 3 ini, saya dapati masyarakatnya sangat baik, suka bantu-membantu dan mengamalkan budaya berjiran dalam beberapa aktiviti gotong-royong dan program ziarah yang kami anjurkan. Hal ini bertepatan dengan tuntutan Islam yang menyeru umatnya hidup dalam bersatu padu dan saling bantu-membantu antara satu sama lain. Hadis nabi Muhammad SAW yang bermaksud “Siapa yang menyelesaikan kesulitan seorang mukmin dari berbagai kesulitan-kesulitan dunia, niscaya Allah akan memudahkan kesulitan-kesulitannya hari kiamat”

Penulis bersama-sama anak-anak kampung Prektenug 3

Aktiviti ziarah sukarelawan ke salah sebuah rumah penduduk

Laman-Laman Pautan

TV6 Malaysia

tvmalaysia.net

TV Malaysia.net

MOVIE

Sembang Santai

Pelawat

Followers