28 April 2014

TRAVELOG KEMBOJA 5: Suasana Pendidikan di Kampung Svay Khleang

Kesibukan dalam melaksanakan aktiviti-aktiviti kesukarelawan di Musa Asiah Integrated School tidak menghalang saya mendekati beberapa individu bagi mengenali masyarakat Cham dengan lebih dekat. Antaranya saya sempat berkenalan dengan seorang anak jati kampung tersebut yang juga pengetua di Musa Asiah Integrated School. Beliau ialah Ustaz Salleh yang sangat fasih berbahasa Melayu dan pernah menuntut ilmu di luar negara. Menurut beliau, kehidupan belia Muslim di Kemboja sekarang sudah berubah dan lebih baik dari zaman selepas perang. Setiap tahun ramai belia Muslim yang melanjutkan pengajian di peringkat yang lebih tinggi sama ada di dalam atau luar negara. Kebanyakan mereka menerima sumbangan dan bantuan daripada persatuan-persatuan belia Islam yang berusaha mengumpulkan dana pendidikan. Dana tersebut kebanyakannya diperolehi dari negara-negara Islam yang lebih maju seperti negara-negara Arab, Malaysia, Brunei dan banyak lagi. Namun yang menjadi permasalahan ialah hanya segelintir sahaja dalam kalangan graduan belia Cham tersebut yang berminat menyumbangkan bakti untuk bekerja dan membantu pendidikan di kampung. Kebanyakan mereka lebih gemar bekerja di Phnom Penh malah ramai yang terus menetap dan bekerja di luar negara.

Bangunan dua tingkat ini ialah sebuah rumah yang diwakaf untuk dijadikan Musa Asia Integrated School
Namun, Ustaz Salleh tetap bersyukur dengan sokongan penduduk terhadap perkembangan sekolah agama di kampung tersebut. Jelasnya ibu bapa amat menitik beratkan pendidikan agama walaupun anak-anak mereka telah dihantar ke sekolah harian kerajaan. Kami melihat ramai ibu bapa yang menghantar dan mengambil sendiri anak mereka di sekolah tersebut malah ada yang sanggup menunggu lama di luar sekolah. Beliau juga sangat berbangga dengan semangat dan komitmen dua orang guru di sekolah tersebut dan di antaranya ialah Ustaz Safir yang tidak jemu mendidik anak-anak kampung.

Seorang anak Cham bernama Sufina berusia 7 tahun mempamerkan lukisannya.
Mata pelajaran yang diajar di Musa Asiah Integrated School tidak semuanya sama seperti mata pelajaran di sekolah harian kerajaan. Di sini, pelajar akan diberi penekanan mata pelajar agama seperti membaca al-Quran, Tauhid, Fiqah dan banyak lagi di samping mata pelajaran bahasa Inggeris dan bahasa Khmer sendiri turut diajar.

Pengalaman berada bersama pelajar-pelajar di Musa Asiah Integrated School banyak mengajar kami erti kesyukuran yang sebenar. Sekolah mereka tidaklah sehebat sekolah-sekolah agama di Malaysia kerana serba kekurangan. Namun semangat menuntut ilmu mereka tidak boleh dipertikaikan lagi. Mereka sanggup meredah kegelapan malam dan berjalan kaki sejauh beberapa kilometer kerana tidak ramai yang mempunyai basikal. Malah kebanyakan aktiviti kami juga dilaksanakan sehingga jam 10 malam. Saya teringat dengan petikan hadis nabi Muhammad SAW yang telah bersabda maksudnya “Barangsiapa yang berjalan menuntut ilmu maka Allah mudahkan jalannya menuju ke syurga”.


Sebahagian pelajar menantikan persembahan eksperimen sains yang akan dipemerkan oleh sukarelawan
Penulis bersama anak anak Cham di Musa Asia Integrated School Svay Khleang
Saya sangat bertuah kerana diamanahkan untuk mengendali slot aktiviti Bacaan Iqra’ bersama rakan-rakan sukarelawan yang lain. Setiap pelajar diagihkan kepada beberapa kumpulan kemudian diberikan buku Iqra’. Kaedah bacaan adalah secara bertalaqqi dalam kumpulan-kumpulan kecil. Dari situ saya mendapati kebanyakan mereka sudah mampu menguasai asas-asas bacaan al-Quran dengan baik malah sudah ada yang boleh membantu saya mengajar rakan-rakan mereka yang lain. Selain itu, saya turut berkesempatan mengendalikan slot aktiviti ‘Tahsinul Ibadah’ di mana para sukarelawan akan membimbing pelajar-pelajar supaya mengambil wuduk dan solat dengan sempurna. Memang tidak dinafikan kebiasaannya usia kanak-kanak di antara 6 hingga 11 tahun merupakan usia untuk bermain tetapi apa yang membanggakan kami ialah mereka cukup patuh serta memberi kerjasama terhadap arahan dan bimbingan yang diberikan malah melaksanakannya dengan baik cuma sesekali masalah komunikasi bahasa menjadi halangan yang sukar dielakkan. Saya dapati mereka sangat menghormati guru, tetamu dan orang yang lebih tua dalam pelbagai keadaan yang mana budaya sebegini semakin terhakis dalam kalangan anak-anak Melayu di tanah air sendiri.
Ustaz Salleh sedang memberikan ucapan
Pelajar-pelajar menerima cenderahati kenangan bergambar bersama sukarelawan
Pelajar sedang mendengar taklimat

Laman-Laman Pautan

TV6 Malaysia

tvmalaysia.net

TV Malaysia.net

MOVIE

Sembang Santai

Pelawat

Followers