16 May 2009

PERUTUSAN KHAS PRESIDEN MPM SEMPENA SAMBUTAN HARI GURU 16 MEI

Bismillaharhmanirahim..

Assalamualaikum w.b.t..

Bersama-sama kita merafaqkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT, Selawat dan salam ke atas junjungan besar Rasulullah S.A.W. kepada ahli keluarga baginda, dan sahabat-sahabat baginda yang telah berjuang bersama-sama, mendidik dan menyebarkan dakwah untuk menegakkan Islam yang tercinta.

Bersempena Hari Guru bagi tahun 2009 ini, saya ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua pendidik termasuk guru-guru di sekolah dan pensyarah di IPT khususnya INSANIAH ini kerana telah berjaya meneruskan kerja-kerja pendidikan yang begitu mencabar dari semasa ke semasa.

Kerja pendidikan sebenarnya telah bermula sejak lama dulu. Dan hal ini jelas dengan peranan pendidik contoh yang telah dimainkan oleh Rasulullah sebagai nabi terakhir diikuti para sahabat dan ulama' serta pendakwah sepanjang zaman.

Hari ini guru-guru dan pendidik bertanggungjawab untuk membina generasi muda secara khusus dan rakyat amnya ke arah pembentukan masyarakat yang sejahtera dan mampu mengemudi negara dengan cemerlang pada masa depan.

Perumpamaan yang biasa didengari pada ucapan-ucapan awam seperti 'guru ibarat lilin, pelita dan sebagainya yang sanggup membakar dirinya untuk menerangi orang lain' adalah wajar direnungi sedalam-dalamnya. Keikhlasan guru dalam meletakkan matlamat 'murabbi' di hadapan mengatasi peranan 'muallim' amat disanjungi dan perlu diberi pengiktirafan oleh semua pihak.

Justeru itu, saya menyeru kepada rakan-rakan siswa supaya kita menilai kembali tahap rasa hormat kita kepada insan yang bergelar 'murabbi' ini dan mengangkat martabat mereka ke tempat yang betul. Selaku golongan intelek, mahasiswa perlu memainkan peranan yang lebih dalam memastikan institusi perguruan ini sentiasa dipandang tinggi oleh masyarakat. Budaya yang semakin terhakis seperti memberi salam kepada pensyarah tatkala bersilisih bahu perlu ditanam kembali kepada masyarakat di menara gading.

Akhir kata, saya mewakili seluruh mahasiswa Kolej Universiti Insaniah mengucapkan Selamat Hari Guru buat semua insan yang bergelar pendidik di Malaysia khususnya buat pensyarah-pensyarah di INSANIAH. Semoga anda terus tabah dan bersemangat dalam mendepani cabaran semasa.

Ammar Badruddin Bin Hj. Romli,

Presiden,

Majlis Perwakilan Mahasiswa,

Kolej Universiti Insaniah.

Laman-Laman Pautan

TV6 Malaysia

tvmalaysia.net

TV Malaysia.net

MOVIE

Sembang Santai

Pelawat

Followers