28 April 2014

TRAVELOG KEMBOJA 3 : Sejarah Penghapusan Etnik Cham




Salah satu alat seksaan yang digunakan
Ustaz Muhd Radhee jelas tidak dapat menyembunyikan kesedihan beliau tatkala menceritakan tentang penindasan umat Islam oleh Regim Khmer Rouge yang telah dipimpin Pol Pot sekitar tahun 1970-an. Suaranya kedengaran agak dalam seperti menahan sebak. Katanya, sebelum pemerintahan kuku besi Khmer Rouge, umat Islam hidup dalam keadaan aman dan harmoni di samping  melaksanakan amalan ibadah dengan bebas walaupun tinggal di tengah-tengah komuniti besar masyarakat beragama Buddha. Pada tahun 1962, terdapat kira-kira 100 buah masjid di negara ini. Namun, seperti pepatah Melayu, “Disangka panas sampai ke petang, rupanya hujan di tengah hari”, keamanan yang di kecapi itu tidak berkekalan. Pol Pot yang berfahaman komunis telah mengarahkan semua masjid-masjid dan sekolah-sekolah agama ditutup serta tidak membenarkan sebarang aktiviti keagamaan diamalkan. Askar-askar regim telah masuk ke kampung-kampung orang Islam dan membunuh ramai imam, guru dan pelajar agama. Penduduk Islam diarah melakukan perbuatan-perbuatan yang bertentangan dengan ajaran Islam seperti minum arak, makan babi, membuka aurat, tidak dibenarkan berpuasa Ramadan malah akan dibunuh sebelum diseksa dengan kejam sekiranya enggan mematuhi arahan tersebut. 


Makam mangsa kekejaman Khmer Rouge kini terletak di kawasan muzium
Timbunan tengkorak menjadi bukti pembunuhan beramai-ramai etnik Cham dan Khmer yang diabadikan di muzium perang
Menurut Farina So dalam penyelidikannya yang bertajuk An Oral History of Cham Muslim Women in Cambodia under the Khmer Rouge Regime, Khmer Rouge telah melaksanakan dasar-dasar penghapusan agama Islam dengan cara (1) membunuh pemimpin agama, guru-guru Islam, dan mereka yang membalas revolusi, (2) memusnahkan salinan al-Quran dan buku-buku agama yang lain, (3) mencemari masjid dan kubur, (4) menutup sekolah-sekolah agama (5) menukarkan kepercayaan rakyat terhadap tuhan kepada manusia, (6) memaksa rakyat untuk bekerja keras dengan harapan bahawa mereka akan lupa untuk menyembah Allah, (7) memaksa orang untuk melepaskan agama, supaya mereka akan bekerja lebih kuat, dan (8) mengasimilasikan etnik Cham ke dalam majoriti masyarakat Buddha Khmer dan menjadikan mereka sebagai Khmer sahaja. Perkara tersebut dilaksanakan dengan memperkenalkan undang-undang yang memaksa perkahwinan etnik Cham dengan Khmer yang bertujuan untuk menghapuskan identiti agama dan keturunan mereka. Kekejaman ini langsung tidak melunturkan semangat masyarakat Muslim untuk terus beribadah kepada Allah SWT secara sulit. Ramai juga di antara mereka yang lari meninggalkan tanah air menuju ke Malaysia dan Selatan Thailand bagi menyelamatkan diri dan keimanan dari terus diseksa.
Sukarelawan berkumpul di salah sebuah rumah penduduk kampung
Ketibaan kami di Kampung Svay Khleang telah disambut mesra oleh beberapa orang penduduk kampung yang lama menunggu kedatangan kami. Namun, kesukaran untuk berkomunikasi dengan penduduk tempatan tetap menjadi masalah utama bagi kami kerana rata-rata mereka tidak faham berbahasa Melayu dan menggunakan bahasa Cham atau Khmer sahaja. Mujurlah kami sempat berkenalan dengan seorang anak muda yang fasih berbahasa Inggeris bernama Ustaz Safir. Beliau ialah guru muda berusia 27 tahun merupakan graduan undang-undang sebuah universiti di Phnom Penh. Beliau bertugas di Musa Asiah Integrated School yang terletak di kampung berkenaan dan juga merupakan tempat program yang akan kami laksanakan. Beliaulah yang banyak membantu kami menguruskan aktiviti kesukarelawanan kepada pelajar di sekolahnya.


Monumen rumah api yang ditinggalkan yang menambah daya tarikan di Svay Khleang


Jalan kampung yang digunakan oleh penduduk kampung setiap hari.


Pemandangan susunan rumah Kampung Svay Khleang

Laman-Laman Pautan

TV6 Malaysia

tvmalaysia.net

TV Malaysia.net

MOVIE

Sembang Santai

Pelawat

Followers