 |
Gambar kenangan sukarelawan |
Tempoh
dua hari di Kampung Prektenug 3 dirasakan amat singkat dan kami terpaksa
meninggalkannya dengan rasa berat hati. Sebelum berangkat pulang, saya sempat
bertemu dengan Ustaz Salam dan beliau telah memperkenalkan saya dengan tiga
orang anak perempuannya yang comel. Saya juga sempat mempelawa beliau melawat
Malaysia pada masa akan datang. Sebelum berpisah saya memohon agar beliau
mendoakan saya supaya dikurniakan Allah SWT menjadi seorang pendidik dan
pendakwah yang ikhlas dalam medan masyarakat.
 |
Pemandangan cantik matahari terbenam di tebing Sungai Mekong menjadi suatu kenangan indah untuk dibawa pulang |
Sesungguhnya
pengalaman di Kemboja banyak memberi pengajaran yang berharga buat kami para
sukarelawan yang memberi khidmat dan bakti kepada masyarakat. Catatan ringkas
ini diharapkan sedikit sebanyak mampu memberi kefahaman kepada pembaca mengenai
praktis agama dalam masyarakat Muslim Cham. Secara keseluruhannya saya melihat
masyarakat mereka masih lagi mempertahankan akidah serta amalan-amalan ibadah
yang dianjurkan dalam Islam walaupun telah melalui satu sejarah hitam yang
penuh penyeksaan dan penderitaan.
 |
Sukarelawan wanita bergambar di hadapan banner yang mengalu-alukan kedatangan kami |
Kewujudan sekolah-sekolah agama dan
tahfiz diharapkan mampu melahirkan masyarakat yang celik agama. Tetapi untuk meneruskan kesinambungan pendidikan Islam dalam kalangan anak-anak Muslim di
Kemboja, saya merasakan sudah tiba masanya mereka mempunyai institusi pengajian
tinggi Islam sendiri. Berdasarkan maklumat yang diberikan oleh Ustaz Salleh di
kampung Svay Khleang, kebanyakan penduduk tua di kampungnya hanya mampu membaca
al-Quran dan tidak ramai yang mampu menulis dan membaca dengan baik. Manakala
belia-belia kampung pula berjaya menamatkan pendidikan di peringkat sekolah
menengah sahaja. Hanya mereka yang bernasib baik dan terpilih serta mempunyai
semangat yang tinggi mampu menyambung pelajaran ke menara gading dalam pelbagai
bidang tetapi jumlahnya tidak ramai. Justeru dengan kewujudan sebuah universiti
Islam sendiri sekurang-kurangnya dapat menjamin masa depan belia Muslim dengan
teras pengajian Islam di samping penerapan ilmu-ilmu konvensional seperti
ekonomi, politik, perundangan dan sosial. Saya sangat yakin, ia mampu mengubah
landskap kehidupan serta memastikan nilai agama dan kebudayaan masyarakat terus
dikekalkan pada setiap generasi. Universiti Kebangsaan Malaysia tentunya boleh
menjadi model yang terbaik ke arah itu.
 |
Penulis bersama beberapa orang sukarelawan bergambar kenangan di hadapan Royal Palace of Cambodia yang terletak di Phnom Penh |
 |
Tut tut menjadi salah satu kenderaan awam utama di Phnom Penh |
 |
Sempat bersantai di atas Feri Cruise yang merentasi Sungai Mekong di bandar Phnom Penh |
 |
Menjamu selera di salah sebuah restoran halal di Phnom Penh |