 |
Wakil sukarelawan menyampaikan ucapan selepas solat Jumaat di Masjid Svay Khleang |
Suasana
pagi pada hari pertama di kampung Svay Khleang begitu indah bagi kami. Saya
sempat menegur beberapa orang yang lalu lalang di hadapan rumah penginapan
dengan memberi salam. Ternyata mereka ramah dan daripada raut wajah, mereka
gembira dan mengalu-alukan kedatangan kami. Kampung Svay Khleang ini terletak
di bahagian utara Phnom Penh. Kehidupan masyarakat di sini adalah sederhana
dengan pendapatan seharian mereka daripada sumber pertanian, perikanan dan
perniagaan kecil-kecilan. Walaupun serba sederhana, mereka masih mempunyai
ikatan persaudaraan Muslim dan semangat beragama yang kukuh. Terdapat sebuah
masjid yang menjadi medan penyatuan umat Islam di kampung tersebut. Kami sempat
mendengar khutbah dalam bahasa Cham dan menunaikan solat Jumaat di masjid
tersebut. Majlis tazkirah sebelum khutbah yang telah disampaikan oleh Imam
Besar masjid juga turut diadakan. Menurut Ust Muhd Radhee, imam telah memberi
nasihat kepada ahli kariah supaya meningkatkan amalan solat sunat di dalam
masjid di samping meninggalkan perkara yang sia-sia. Kehadiran makmum yang
penuh mengingatkan kami dengan solat Jumaat di masjid-masjid tanah air,
langsung tidak berbeza.
 |
Penulis bergambar dihadapan masjid pertama dan tertua di kampung Cham |
Pada
akhir abad kesembilan belas, umat Islam Kemboja telah berjaya menubuhkan sebuah
badan keagamaan yang dipimpin oleh seorang mufti bagi memberi nasihat perkara
berkaitan dengan hukum hakam dalam agama Islam. Pada kebiasaannya, mufti ini
dipilih dari kalangan imam-imam yang berpengetahuan luas dalam syariat Islam
serta mempunyai tahap pendidikan yang tinggi seperti pernah menuntut di
Universiti al-Azhar atau di Makkah dan di Madinah. Pentadbiran hal ehwal Islam
di kampung-kampung Cham adalah di bawah kawalan Majlis Tertinggi Hal Ehwal
Agama Islam di Kemboja (HCIRAC), yang terdiri daripada Imam dan timbalan dan
penasihat-penasihatnya. Majlis ini terletak di bawah pengawasan Kementerian
Buddha, Agama dan Pertubuhan Kemboja. Setiap kampung diketuai oleh seorang
hakim yang menguruskan hal ehwal agama seperti pernikahan, pengurusan masjid
dan menjadi penasihat kepada aktiviti keagamaan seperti korban, urusan haji dan
sambutan perayaan. Beliau akan dibantu oleh imam, bilal dan beberapa ahli jawatankuasa
yang lain.
 |
Sebuah masjid baru di Kampung Cham |
 |
Sukarelawan berkumpul di hadapan pintu gerbang masjid tertua Kampung Cham. Ustaz Safir berbaju biru sedang memberikan taklimat. |