Aktiviti
kami di Kampung Svay Khleang selama tiga hari tersebut agak padat dan secara
keseluruhannya telah berjaya mencapai matlamat menawarkan khidmat pendidikan
formal bersama pelajar-pelajar sekolah. Namun jauh di sudut hati, saya berasa
terkilan kerana tidak mempunyai kesempatan mempelajari adat budaya mereka
dengan lebih mendalam. Saya menanam azam baru supaya terus mempelajari sesuatu
yang baru di Kampung Prektanung 3 yang akan kami lawati nanti. Perjalanan ke
kampung tersebut dari Svay Khleang yang mengambil masa tiga jam dirasakan agak
singkat berbanding dengan perjalanan yang pertama dari Phnom Penh dahulu namun
ia lebih menarik kerana kami berkesempatan menaiki tongkang untuk merentas
Sungai Mekong sungai yang terpanjang di Asia Tenggara.
 |
Jalan utama di Kampung Prektenug 3 |
Ketibaan kami di Kampung
Prektanug 3 di sambut meriah oleh masyarakat tempatan. Mereka mengadakan
kenduri dan menjemput penduduk kampung hadir untuk beramah mesra dengan
rombongan kami. Sepanjang dua hari ini kami bermalam di rumah Ustaz Muhd Radhee
sendiri yang merupakan pembimbing perjalanan kami sejak hari pertama lagi.
Rumahnya agak besar, selesa dan mewah kalau dibandingkan dengan rumah penduduk
kampung yang lain. Maka tidak hairanlah beliau antara belia Muslim yang berjaya
dalam perniagaan herba dan kerana itu beliau banyak menumpukan kepada aktiviti
mengumpul dana untuk disalurkan kepada penduduk muslim melalui NGO yang
dikenali sebagai Association for Capacity Building of Human Resource
Development In Cambodian Islamic Community (CACIC).
 |
Pintu hadapan rumah penginapan kami di Pregtanug 3. Rumah yang dimiliki oleh Ustaz Radhee ini juga dijadikan pejabat operasi NGO yang ditubuhkannya. |
Aktiviti
kami diteruskan di Kampung Pregtanug 3 tetapi konsepnya agak berbeza. Kali ini
ia lebih tertumpu pada penduduk kampung seperti gotong-royong membersihkan
kampung dan surau, sumbangan dan ziarah fakir miskin, sukaneka kanak-kanak,
malam kebudayaan dan pertandingan bola persahabatan. Kedudukan rumah ustaz Muhd
Radhee yang bersebelahan dengan sebuah sekolah agama memberi peluang kepada
saya untuk berkenalan dengan seorang guru yang bernama Ustaz Salam. Beliau
fasih berbahasa Melayu kerana pernah menuntut ilmu pondok di negeri Kelantan
dan kelihatan beliau sangat gembira dengan kedatangan kami di kampungnya.
 |
Penulis bersama Ustaz Salam |
Sepanjang
perkenalan dengannya, saya mendapati beliau seorang yang baik, alim mengenai
agama dan berpandangan jauh. Beliau juga sangat dikenali di kampungnya kerana
bertugas sebagai imam sambilan di surau kampung yang tidak jauh dari penginapan
kami. Ustaz Salam sangat bersyukur kerana dilahirkan sebagai seorang Muslim dan
sempat merantau ke Malaysia untuk mempelajari tentang agama secara mendalam.
Beliau amat yakin bahawa penguasaan ilmu agama sangat penting terutama dalam
dunia moden yang serba mencabar ini. Maka ilmulah yang akan memandu pemikiran
manusia agar tidak tersasar daripada landasan Islam dan Iman. Kadang kala
beliau melahirkan kekecewaan dengan amalan-amalan masyarakat kampung yang
menyimpang dari ajaran Islam sebenar antaranya seperti mempercayai bomoh dan
menilik nasib. Katanya amalan sebegini perlu dibuang kerana jelas menyesatkan
manusia daripada keimanan terhadap Allah SWT. Pendidikan Islam secara asas
mengenai ibadah sahaja sebagaimana yang difahami sebahagian penduduk kampung
adalah tidak cukup malah perlu didalami dengan mengkaji ilmu tauhid, akidah,
tafsir, hadis, akhlak dan sebagainya. Kata-kata Ustaz Salam ada kebenarannya
lantas saya teringat dengan Firman Allah SWT dalam ayat 208 surah al-Baqarah yang
bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Islam
secara menyeluruh dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan.
Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh kamu yang nyata."
 |
Penulis berkesempatan menyerahkan sumbangan keperluan dapur yang dikumpulkan kepada seorang ibu tunggal |
 |
Aktiviti sukaneka bersama kanak-kanak |
Sepanjang
pemerhatian di Kampung Prektanug 3 ini, saya dapati masyarakatnya sangat baik,
suka bantu-membantu dan mengamalkan budaya berjiran dalam beberapa aktiviti
gotong-royong dan program ziarah yang kami anjurkan. Hal ini bertepatan dengan
tuntutan Islam yang menyeru umatnya hidup dalam bersatu padu dan saling
bantu-membantu antara satu sama lain. Hadis nabi Muhammad SAW yang bermaksud “Siapa
yang menyelesaikan kesulitan seorang mukmin dari berbagai kesulitan-kesulitan
dunia, niscaya Allah akan memudahkan kesulitan-kesulitannya hari kiamat”
 |
Penulis bersama-sama anak-anak kampung Prektenug 3 |
 |
Aktiviti ziarah sukarelawan ke salah sebuah rumah penduduk |