Perasaan
bercampur baur hadir tatkala kami menjejakkan kaki di Cambodia International
Airport. Rasa bersyukur kerana telah tiba dengan selamat walaupun cerita-cerita
tentang kehilangan pesawat MH370 dan tahap keselamatan pesawat MAS masih meniti
di bibir beberapa penumpang pesawat MH762 dari Kuala Lumpur ke Phnom Penh yang
kami naiki itu. Namun perasaan itu bercampur bimbang tatkala memikirkan
kesusahan untuk memahami bahasa, agama, budaya dan adat resam masyarakat di
negara ini berbeza dengan kami. Perkara sebegini tentu menyukarkan
komunikasi serta aktiviti harian yang akan dilaksanakan nanti.
 |
Pesawat MH762 yang kami naiki |
Perasaan
lega timbul apabila ketibaan kami disambut mesra oleh seorang aktivis belia
Muslim Kemboja yang telah mengenalkan dirinya sebagai Ustaz Muhd Radhee Salam
hadir berkopiah putih dan fasih berbahasa Melayu. Beliau bersama seorang
pembantu dan dua orang pemandu van akan membawa kami ke tempat program yang
dirancang. Saya mula sedar bahawa terdapat orang tempatan di sekeliling kami
yang berkopiah putih, berkain sarung juga ada Muslimah yang bertudung. Sedikit
demi sedikit persepsi kami tentang masyarakat di bandar Phnom Penh ini mula
berubah kerana dari segi pemakaiannya sudah tidak jauh berbeza dengan kami di
Malaysia tentu makanan halal juga mudah didapati nanti.
Kami
seterusnya dibawa ke tempat program yang terletak di Provinsi Svay Khleang kira-kira
6 jam perjalanan dari Cambodia International Airport. Kelihatan di
tengah-tengah kesibukan bandar metropolitan Phnom Penh tersergam indah sebuah
bangunan besar berkubah kelabu. Menurut Ustaz Muhd Radhee, bangunan tersebut
ialah sebuah masjid dikenali sebagai Masjid Boaengkok yang masih di dalam
pembinaan dan dijangka siap beberapa bulan lagi. Pembinaan masjid yang dibiayai
sepenuhnya oleh jutawan dari negara UAE itu bakal menjadi sebuah mercu tanda
dan bukti kewujudan masyarakat Islam di kota Phnom Penh.
 |
Di balai ketibaan Cambodia International Airport, Ustaz Radhee berkopiah putih menyambut ketibaan kami |
Kami
sangat bertuah kerana bersama Ustaz Muhd Radhee yang ramah dan tidak lokek
berkongsi cerita. Pertuturan bahasa Melayu beliau yang baik kerana pernah
bekerja di Johor menjadi kelebihan yang digunakannya untuk berkomunikasi dengan
kami. Malah pengalaman beliau sebagai anak jati etnik Cham yang berjaya dalam
perniagaan herba dan ramai kenalan termasuk pegawai kerajaan amat membantu
usaha kami memahami budaya dan agama masyarakat Muslim di sini. Justeru, tempoh perjalanan yang lama ke Svay
Khleang telah kami gunakan sebaiknya untuk mengenali budaya dan amalan agama
masyarakat Muslim Cham dengan lebih dekat melalui beliau.
 |
Pemandangan dari jauh Masjid Boengkok yang bakal menjadi mercu tanda kota Phnom Penh |
 |
Penanaman tembakau banyak diusahakan oleh penduduk muslim Cham |
 |
Suasana di salah satu tempat di Phnom Penh |
Akan bersambung siri ke-2