 |
Wajah ceria anak-anak Kemboja yang ditemui penulis di Kampung Svay Khleang |
Menurut
sumber yang dikeluarkan oleh kerajaan, pada tahun 2009 komuniti Muslim di
Kemboja mewakili 1.6 peratus atau 236 000 orang sahaja daripada keseluruhan
penduduk negara tersebut. Namun, fakta ini telah disangkal oleh seorang
penyelidik bebas dari Mesir bernama Dr. Ragheb Elsergany. Tulisannya yang
diterbitkan dalam laman Islamstory.com menyatakan jumlah komuniti Muslim di
Kemboja adalah lebih besar iaitu mewakili 15% dari keseluruhan rakyatnya. Perbezaan
angka ini mungkin berlaku kerana kedudukan komuniti penduduk Muslim yang
bertebaran di seluruh Kemboja dan tidak berkumpul di sebuah negeri atau daerah
sahaja justeru menyukarkan anggaran sebenar bancian jumlah penduduk yang
dilakukan oleh pihak kerajaan.
 |
Pintu gerbang salah satu rumah ibadat dan sekolah kerajaan |
Agama
rasmi yang dianuti lebih daripada 95 peratus rakyat Kemboja ialah agama Buddha
yang bermazhab Theravada. Mazhab Theravada ini berbeza dengan Buddha bermazhab
Mahayana yang dianuti oleh masyarakat Buddha di tanah air kita. Perkara ini
jelas apabila sepanjang perjalanan kami melihat ciri-ciri binaan patung serta
hiasan tokong mereka berbeza dengan binaannya di Malaysia dengan patung seperti
singa, naga, ular dan dewa-dewa berwajah bengis diukir menghiasi
pagar-pagar rumah ibadat, jambatan, sekolah dan bangunan-bangunan kerajaan. Tradisi Theravada Buddha adalah diamalkan
secara meluas dan kukuh oleh masyarakat etnik Khmer dalam semua wilayah, dengan
anggaran lebih 4,392 rumah ibadat di seluruh negara yang dibiayai oleh
kerajaan. Selain itu, dianggarkan 20,000 orang rakyat Kemboja yang beragama Kristian
Katolik mewakili 0.15% daripada jumlah penduduk dan kebanyakan mereka tinggal
di bandar besar Phnom Penh.
 |
Anak-anak Cham |
Menurut
Ustaz Muhd Radhee, Islam adalah agama majoriti etnik Cham atau dikenali juga
sebagai Khmer Islam dan etnik Melayu yang menjadi minoriti di Kemboja. Mereka
menetap di pelbagai bahagian di Kemboja, termasuk Kampong Cham, Kampong
Chhnang, Kampot, Pursat, Battambang, Kandal, Phnom Penh, Kampong Thom, dan
Kratie, tetapi majoriti Muslim Cham tinggal di Kampong Cham. Mereka juga
mengamalkan mazhab Syafie sebagaimana yang diamalkan oleh majoriti Muslim di Malaysia,
Indonesia dan Brunei. Tidak banyak maklumat yang didapati tentang sejarah
kedatangan Islam di Kemboja tetapi terdapat sumber lain yang menyatakan bahawa
agama Islam ini telah dibawa oleh pedagang dan pendakwah dari Habsyah melalui
jalan laut yang tiba di Indo-China sekitar tahun 617 H dahulu.
 |
Rumah asap digunakan secara meluas dalam penanaman tembakau oleh penduduk muslim Cham |
bersambung siri ke-3...